Wan Rosdy mengumumkan pemberian dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbiran negeri dan inisiatif RM200 kepada menjawat awam.

KUANTAN – Penjawat awam yang berkhidmat di bawah Kerajaan Negeri Pahang bakal menikmati dua bulan gaji menerusi pemberian Bantuan Khas Kewangan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengumuman itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM48 juta yang akan dikreditkan sebanyak dua kali pada tahun 2026.

Bukan itu sahaja, pentadbiran negeri itu turut menghargai sumbangan perkhidmatan penjawat awam peringkat Persekutuan.

”Sebagai tanda terima kasih atas komitmen dalam memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.75 juta bagi Pemberian Insentif Khas Pahang 1st.

”Ia merupakan sebanyak RM200 kepada 18,743 kakitangan awam Persekutuan berpendapatan bawah RM3,000 pada 31 Disember 2025,” katanya.

Wan Rosdy  berharap seluruh penjawat awam negeri dan Persekutuan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri Pahang untuk memperkasa iltizam, memantapkan integriti dan memelihara semangat berpasukan agar segala agenda pembangunan yang direncanakan dapat direalisasikan demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar penjawat awam kekal menjadi benteng pelindung yang mempertahankan Kerajaan Negeri apabila wujud suara-suara yang cuba memesongkan fakta, mengeruhkan persepsi dan menggugat keyakinan rakyat terhadap usaha yang telah dilaksanakan selama ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2026 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

”Segala kejayaan negeri hari ini tidak akan tercapai tanpa peranan penting penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran.

”Komitmen dan kesetiaan mereka adalah nadi yang menggerakkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast