Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap ketika sidang media selepas merasmikan pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat di IOI Grand Exhibition Hall and Convention Centre, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2025

PUTRAJAYA – Mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu berkaitan pertikaian tanah melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) akan diteruskan seperti dirancang.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat susulan perbincangan empat mata antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dengan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali yang semalam.

“Kedua-dua pihak termasuk FELDA telah bersetuju bahawa perbincangan lanjut perlu diadakan. Jadi kita turuti proses itu sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan.

“Mungkin pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang akan ada beberapa perkara yang akan dibangkitkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Tapi setakat petang semalam, pertemuan tersebut (antara Johan Mahmood dan Zulkifli) telah berlangsung dan perbincangan akan diteruskan. (Jadi mesyuarat) antara akan diteruskan dulu,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Karnival Kempen Internet Selamat (KIS) 2025: Perkasa Kesedaran Keselamatan Internet hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali.

Awal hari ini, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan lanjutan tempoh remedi yang diberikan kepada FGV berhubung Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Notis 425 KTN).

Menurutnya, keputusan itu akan dibuat sekiranya perbincangan lanjut berkaitan isu tanah kerajaan negeri dengan FELDA dan FGV yang dijadualkan malam ini menunjukkan perkembangan positif.

Azman turut memaklumkan perbincangan itu adalah sambungan kepada pertemuan pertama yang diadakan petang semalam.

Isu itu memuncak apabila Kerajaan Negeri Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah yang diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di seluruh negeri berkenaan.

Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

Tindakan tersebut diambil selepas FELDA didakwa gagal memberi maklum balas terhadap tuntutan pembayaran 30 peratus hasil keuntungan daripada tanah milik kerajaan negeri yang diterokai sejak 40 tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast