Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama-Sama Warga Kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan KKR di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Politik negara yang stabil selama tiga tahun ini harus dimanfatkan untuk melakar program yang jelas dan melaksanakannya demi  pembangunan untuk rakyat negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, perdana menteri mengakui ia bukan tugas yang mudah untuk dilaksanakan dalam tempoh setahun.

Tetapi, rakyat boleh menilaikan apa yang telah dilakukan sejak Kerajaan Madani mentadbir negara ini.

Namun, katanya, masih ada sikap segelintir pihak yang tidak berfikiran positif apabila hanya akan melihat isu-isu yang negatif sahaja untuk menilai dan mengukur prestasi kerajaan.

“Jadi saya tanya kenapa kita pilih KKR (Kementerian Kerja Raya)? Sudah stabil dan rancangan sudah ada dan prestasi alhamdulillah dan untuk terus maju dengan kelajuan yang lebih meyakinkan sebagai agensi pelaksana dan tiada yang paling mencabar dan diharapkan tentunya KKR.

“Maknanya kalau kita bincang semua projek-projek, projek kecil itu masih penting yang dikendali oleh jabatan-jabatan lain tapi projek-projek pelaksanaan dan infrastruktur yang besar, itu KKR.

“Dan sebab itu saya pada hari ini, bagi rakan-rakan saya datang selain menyatakan penghargaan tentang apa yang dilakukan tapi meletakkan harapan yang sangat tinggi (ke atas KKR),” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hadir pada Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama-Sama Warga Kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan KKR di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 DISEMBER 2025

Mengulas lanjut, Anwar turut berkongsi pengalamannya berkempen di Pilihan Raya Negeri Sabah dan melawat negeri itu baru-baru ini apabila dapat memahami kemarahan rakyat di bawah apabila terdapat infrastruktur jalan raya, air dan elektrik yang masih tidak berubah.

Perdana Menteri berkata, sebagai manusia, beliau faham dengan denyut nadi rakyat kerana perdana menteri dan kerajaan silih berganti namun mereka masih menderita dengan infrastruktur yang kekal sama.

“Saya sebagai manusia saya faham juga, orang marah dengar menteri silih berganti, kerajaan silih berganti, perdana menteri silih berganti, air belum berganti dan elektrik belum pasang dan jalan berlubang-lubang.

“Jadi bagi dia, dia rasa dia belum cukup yakin dan saya tak salahkan mereka walaupun kita telah luluskan jumlah kewangan yang paling besar dalam sejarah.

“Saya sebut macam untuk di keseluruhan pembangunan dan operasi perbelanjaan untuk Sabah itu RM17 bilion, untuk air dekat RM1 bilion, untuk elektrik satu bulan RM2 bilion tetapi belum siap.

“Jadi saya selagi belum siap kerana dia rasa terpinggir sekian lama dan kita perlu faham sebab itu saya cuba faham, ini baiknya orang yang lalui liku-liku yang sukar dan penuh derita dia lebih faham empati dengan derita orang.

“Jadi saya pergi turun ke Sabah hari Sabtu lalu dan bagi tahu kepada mereka kita akan pantau dan program-program pelaksanaannya dan menteri akan juga perhatikan projek itu dan untuk semua projek lain yang melibatkan kementerian lain,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi beramah mesra bersama warga KKR pada Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama-Sama Warga Kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan KKR di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 DISEMBER 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast