Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Bhd (FGV) menyambut baik pendekatan konstruktif Kerajaan Negeri Terengganu dalam rundingan berkaitan tanah-tanah yang diusahakan di negeri itu.

Kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, langkah positif berkenaan membolehkan operasi ladang dimulakan semula hari ini.

“Kami amat menghargai pendekatan konstruktif, keterbukaan serta kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk keputusan melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026,” kata kenyataan itu.

Hasil perbincangan yang konstruktif membolehkan FGV kembali menjalankan operasi ladang seperti dipersetujui, memastikan aktiviti harian di tanah rancangan berjalan lancar dan teratur.

Jelas FELDA dan FGV, perkembangan itu memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu berdepan ketidakpastian mengenai pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka.

“Sejak awal, keutamaan kami adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara.

“Dengan penarikan notis terbabit, FELDA dan FGV kini dapat meneruskan operasi secara normal dan kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan,” jelas kenyataan tersebut.

Kedua-dua syarikat itu turut menekankan bahawa kepastian ini bukan sahaja mengembalikan keyakinan peneroka dan pekerja malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.

FELDA dan FGV merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen dan kesediaan untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional.

“Kerjasama ini amat bermakna kerana pada akhirnya kesejahteraan peneroka yang menjadi tunjang dan nadi FELDA sejak penubuhan adalah kepentingan bersama yang mesti terus dipertahankan,” tambah kenyataan itu.

Untuk rekod, rundingan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan FELDA menunjukkan perkembangan positif selepas beberapa siri perbincangan susulan notis amaran dikeluarkan kerajaan negeri baru-baru ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri turut bersetuju melanjutkan tempoh remedi dalam notis kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) sehingga 7 Januari tahun hadapan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Ali memaklumkan bahawa sepanjang tempoh lanjutan ini, perbincangan untuk memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diteruskan secara lebih terperinci.

Beliau juga berkata kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada FGV untuk menyambung operasi semua ladangnya di Terengganu serta-merta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast