Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR – Konvensyen 153 yang dijadual berlangsung pada 13 Disember ini bakal menjadi platform utama membincangkan isu-isu berkaitan hak Melayu, kedudukan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan serta masa depan hala tuju bangsa.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, konvensyen itu diadakan sebagai usaha “mengukir kembali kekuatan bangsa” dan mengingatkan masyarakat Melayu tentang kedudukan mereka dalam landskap politik serta sosial negara.

Ibrahim mendakwa, Malaysia sedang berdepan cabaran yang melibatkan kedaulatan negara serta kedudukan politik Melayu, yang menurutnya semakin berpecah dan hilang pengaruh.

Beliau mengaitkan keadaan itu dengan kemerosotan kuasa politik sejak Pilihan Raya Umum 2008 serta pelbagai krisis kepimpinan Melayu.

“Isu-isu berkaitan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan dan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu turut menjadi perkara mendasar yang disentuh dalam konvensyen itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim turut mengimbas penubuhan Perkasa pada 2008 yang pada ketika itu menurut beliau, berfungsi mempertahankan Fasal 153.

Beliau mendakwa banyak amaran yang disuarakan ketika itu kini “menjadi realiti”, khususnya berkaitan perpecahan politik Melayu dan pertindihan parti.

Beliau turut menegaskan pandangannya bahawa, kelemahan bangsa bukan disebabkan musuh luar, tetapi oleh kepimpinan Melayu yang, menurutnya, “alpa dan tidak berintegriti”.

Ibrahim memberi peringatan bahawa persaingan geopolitik, ekonomi dan budaya global menuntut Melayu lebih bersatu bagi memastikan kestabilan negara.

Katanya, Konvensyen 153 membawa mesej bahawa penyatuan politik dan kepimpinan berakhlak perlu menjadi asas kepada masa depan negara.

“Saya berharap konvensyen ini dapat menjadi “titik kebangkitan baharu” serta mengembalikan keyakinan bangsa terhadap asas-asas perlembagaan yang melibatkan hak Melayu dan Bumiputera.

“Ingat, bahawa masa depan negara bergantung kepada sejauh mana amanah sejarah itu dijaga,” ujarnya.

Konvensyen 153 dijangka menghimpunkan pelbagai tokoh, pertubuhan dan wakil masyarakat bagi membincangkan isu-isu berkaitan Perlembagaan, kedudukan Melayu serta hala tuju politik semasa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast