VILNIUS – Kerajaan Lithuania mengisytiharkan “darurat di seluruh negara” sebagai tindak balas terhadap satu siri pencerobohan dari negara Belarus oleh belon yang membawa rokok seludup.
Perdana Menteri Inga Ruginiene mengecam pencerobohan belon itu sebagai “serangan hibrid” oleh Belarus yang menimbulkan risiko sebenar kepada keselamatan negara dan penerbangan awam.
Tahun ini sahaja, pegawai berkata, kira-kira 600 belon yang dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan dan hampir 200 dron telah memasuki ruang udara Lithuania, menyebabkan penutupan berulang Lapangan Terbang Vilnius.
Pemimpin Belarus Alexander Lukashenko menafikan terlibat dalam pencerobohan tersebut, mendakwa isu itu telah “dipolitikkan” oleh Lithuania, yang merupakan anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) .
Keputusan Lithuania untuk melaksanakan “situasi darurat” adalah satu tahap di bawah darurat negara, yang kali terakhir diisytiharkan pada 2022 selepas pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine.
Ia memberikan kuasa tambahan kepada angkatan bersenjata untuk bertindak lebih pantas dan berkesan.
Pemimpin Belarus yang telah lama berkuasa itu merupakan sekutu rapat Vladimir Putin dari Rusia, dan Presiden Lithuania, Gitanas Nauseda berkata, terdapat banyak bukti ancaman belon itu adalah “tindakan disengajakan yang bertujuan menggugat kestabilan di Lithuania”.
Beberapa negara Eropah telah berdepan pelbagai ancaman dari Rusia, yang dikecam EU sebagai “kempen hibrid” termasuk sabotaj, gangguan kepada infrastruktur kritikal dan terbaru, penerbangan dron berhampiran lokasi sensitif.
Bulan lalu, Ketua Jawatankuasa Ketenteraan NATO, Laksamana Giuseppe Cavo Dragone berkata, pakatan ketenteraan Barat itu sedang mempertimbangkan pendirian yang lebih “agresif” atau “proaktif” terhadap peperangan hibrid Rusia.
Lithuania sebelum ini pernah menuduh Belarus melakukan provokasi seperti ini.
Empat tahun lalu, ribuan migran kebanyakannya dari Timur Tengah, menyeberangi sempadan Belarus.
Sebagai tindak balas terhadap ancaman terbaru itu, Lithuania menutup dua pusat pemeriksaan sempadan dengan Belarus selama tiga minggu sejak akhir Oktober.
Belarus kemudian menghalang lori Lithuania daripada menggunakan jalannya dan ratusan kenderaan Lithuania difahamkan masih terkandas di situ.
“Kita bercakap tentang keselamatan penerbangan dan undang-undang antarabangsa, dan tentang hakikat bahawa tindakan seperti ini boleh diiktiraf sebagai keganasan,” kata Ruginiene minggu lalu, merujuk kepada belon dan lori yang dihalang itu.
Belon cuaca boleh terbang sehingga ketinggian 10km (6 batu) dan kementerian dalam negeri Lithuania berkata ia telah menyebabkan Lapangan Terbang Vilnius ditutup selama lebih 60 jam sejak Oktober menyebabkan 30,000 penumpang terjejas pada Oktober sahaja.
Walaupun penerbangan masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Vilnius hanya terganggu dalam tempoh singkat pada malam Sabtu, ia tetap menjejaskan 1,000 penumpang.
Pihak berkuasa berkata, mereka telah memintas 11 belon penyeludupan dan merampas hampir 40,000 bungkus rokok.
Minggu lalu, lapangan terbang itu terpaksa menggantung operasi sebanyak tiga kali dan syarikat penerbangan Finland, Finnair, telah membatalkan semua penerbangan malam ke Vilnius sehingga akhir Februari kerana belon tersebut. – Agensi
















