Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin

PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai pembangkang apabila satu-satunya kerusi di Sabah disahkan tidak menyertai kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan akan kekal di kerusi pembangkang.

“Setahu saya, (berdasarkan) maklumat yang ada, kalau dia Pas, dia kekal atas sebagai dia ADUN sahaja. Tak ada menyertai dalam kerajaan,” katanya ketika dalam sidang media selepas Mesyuarat Seketeriat Orang Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) hari ini.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambah Muhyiddin, pendirian itu dimuktamadkan berdasarkan maklumat yang dibentangkan dalam mesyuarat parti semalam sekali gus menepis spekulasi mengenai kemungkinan kemasukan Aliakbar ke dalam gabungan negeri.

Muhyiddin turut menegaskan, PN sentiasa menghormati kedudukan setiap wakil rakyat dalam gabungan itu dan tidak pernah memaksa mana-mana ADUN untuk menyertai kerajaan negeri.

Pada masa sama, beliau menambah, fokus parti ketika ini ialah memperkukuh peranan pembangkang di Sabah termasuk memastikan suara rakyat terus dibawa di Dewan Undangan Negeri.

Dalam PRN Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu, Aliakbar yang bertanding atas tiket Pas berjaya memenangi kerusi DUN Karambunai dengan memperoleh 7,054 undi dalam saingan 11 penjuru.

Pertandingan itu turut menyaksikan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Yakub Khan tewas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast