KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai polemik politik kerana rakyat berhak memilih laluan pendidikan yang sesuai dengan mereka.
Naib Presiden UMNO itu berkata, Malaysia mempunyai pelbagai sistem pendidikan, dan apa yang penting ialah menghormati pilihan masing-masing.
“Pandangan ahli politik memang berbeza-beza, itu perkara biasa. Tetapi yang utama, kita saling menghormati apa yang sudah tersedia dalam negara.
“Kalau tidak setuju dengan UEC, tak perlu ambil. Kalau ada yang percaya UEC membantu mereka di peringkat antarabangsa, itu pilihan mereka,” katanya,
Beliau berkata demikian selepas merasmikan merasmikan Program UK PACT 2.0: Kerjasama Malaysia-UK untuk Peralihan Iklim yang Dipercepatkan di sini, hari ini.
Menurutnya, masyarakat bebas menentukan aliran, kelas atau institusi yang mahu diikuti tanpa sebarang paksaan.
Johari menambah, sekolah kebangsaan pula mempunyai silibus yang ditentukan kerajaan, dan sebarang perubahan perlu diteliti dengan cermat.
Kenyataan itu hadir selepas Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh mengkritik DAP berhubung kenyataan Nga Kor Ming yang mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan pengiktirafan UEC.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persiapan UMNO berkaitan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, beliau berkata parti masih menunggu keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – MalaysiaGazette
















