PUTRAJAYA – Tugas utama polis adalah menerima laporan orang awam tanpa mengira apa jua keadaan, termasuk soal pemakaian, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, prinsip itu perlu diangkat sebagai keutamaan kerana isu keselamatan dan kecemasan tidak boleh dikompromi hanya disebabkan peraturan etika berpakaian di pejabat kerajaan.
“Tugas utama pasukan polis apa? Dia menerima laporan, itu tugas dia. Jadi keadaan bagaimana sekalipun, laporan itu tetap kena ambil.
“Di satu sisi ada pekeliling (peraturan berpakaian sopan ketika berurusan di pejabat kerajaan), ada. Pekeliling itu panduan kita lah,” katanya ketika berucap pada Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Jelas Saifuddin, dalam situasi kecemasan seperti kemalangan, keperluan untuk membuat laporan dengan segera jauh lebih penting berbanding mempersoalkan pakaian mangsa atau pengadu.
“Ini menunjukkan bahawa kefahaman terhadap dasar kementerian dan arahan pentadbiran mesti sampai kepada anggota yang bertugas di balai, di kaunter, di pos, bukan setakat di bilik mesyuarat di Putrajaya sebab itu komunikasi dalaman kita mesti diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas insiden seorang wanita mendakwa tidak dibenarkan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk membuat laporan kemalangan kerana diminta menukar pakaian terlebih dahulu.
Kejadian tersebut berlaku pada 8 Disember lalu dan menjadi perdebatan hangat di media sosial.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar sebelum ini menjelaskan bahawa dua wanita hadir membuat laporan kemalangan tetapi dinasihatkan agar menukar pakaian mengikut etika pelanggan sektor awam berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Negara bertarikh 1 Disember 2020.
Saifuddin berkata, isu tersebut turut dibawa dan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam, menunjukkan kepentingannya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan keselamatan tidak terhalang oleh perkara-perkara yang tidak kritikal.
Semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pekeliling berkenaan etika pemakaian di premis kerajaan akan diteliti semula dengan cadangan penambahbaikan.
Malah Fahmi berkata, mesyuarat menteri bersetuju pengecualian wajar diberikan kepada perkhidmatan barisan hadapan seperti kesihatan dan keselamatan, termasuk balai polis daripada pekeliling tersebut. – MalaysiaGazette
















