Presiden ABIM
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan, sebarang pertimbangan kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak boleh mengabaikan syarat wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM, selain memastikan kurikulum kebangsaan kekal sebagai asas utama sistem pendidikan negara.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin memberi amaran bahawa isu UEC tidak wajar dipolitikkan kerana boleh menjejaskan perpaduan nasional.

“ABIM memandang serius polemik berkaitan cadangan pengiktirafan UEC dan menekankan bahawa pendidikan dalam negara majmuk mesti ditangani dengan kebijaksanaan, keseimbangan serta berpaksikan integrasi nasional,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, isu pendidikan tidak boleh dipandang melalui lensa sentimen kaum atau dijadikan modal meraih sokongan politik.

ABIM turut menolak sebarang usaha memanipulasi isu UEC sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum dan merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan kebangsaan.

Malaysia, katanya, memerlukan politik nilai yang mengukuhkan hubungan antara komuniti, bukan politik sentimen.

Ahmad Fahmi berkata, pelajar sekolah menengah persendirian Cina sebenarnya sudah mempunyai laluan sah ke universiti awam melalui STPM dan saluran pengajian lain yang diiktiraf.

“Oleh itu, naratif bahawa pelajar Cina dihalang memasuki universiti awam disifatkan tidak tepat serta tidak mencerminkan realiti dasar pendidikan negara,” tegasnya.

Katanya, Malaysia telah lama membuktikan bahawa kepelbagaian budaya boleh hidup harmoni dalam kerangka negara, namun asas pendidikan kebangsaan tetap perlu dipertahankan sebagai paksi penyatuan rakyat.

ABIM jelasnya, komited menjadi jambatan dialog serta rakan strategik kerajaan bagi memastikan dasar pendidikan negara dibina atas asas integrasi, kualiti dan keadilan tanpa mengorbankan prinsip kebangsaan.

“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan,” kata Ahmad Fahmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast