Gambar hiasan

Oleh: Dr. Ahamad Jama’ Amin Yang

PERDEBATAN mengenai kewajaran pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) telah berulang selama lebih dua dekad dalam landskap politik Malaysia. Namun polemik ini tidak pernah mencapai kata putus kerana ia bukan sekadar menyentuh soal kelayakan masuk ke universiti awam, tetapi mempersoalkan arah pembinaan negara bangsa serta asas penyatuan masyarakat majmuk.

UEC, dalam erti kata sebenar, bukan hanya suatu sistem penilaian alternatif, tetapi medan yang menguji bagaimana Malaysia memahami identiti nasional, bahasa kebangsaan dan keadilan antara kelompok. Menentukan wajarkah UEC diberikan status rasmi memerlukan Malaysia kembali menilai asas-asas pendidikan nasional dan sifat kerencaman masyarakat kini.

UEC dalam kerangka negara bangsa, di mana garis batasnya?
Untuk memahami dilema UEC, analisis perlu bermula dengan kerangka perundangan dan dasar negara. Perlembagaan Persekutuan jelas menempatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan sebagai saluran sosialisasi nasional. Walaupun sistem pendidikan vernakular di peringkat rendah diiktiraf melalui kompromi sejarah, peringkat menengah didirikan atas asas satu sistem pendidikan kebangsaan.

Sekolah menengah persendirian Cina yang mengurus UEC beroperasi di luar kerangka ini, walaupun sah dari
sudut undang-undang dan memainkan peranan dalam komuniti tertentu. Struktur ini menyebabkan UEC berada di zon kelabu antara hak minoriti dan keperluan pembinaan identiti kebangsaan.

Kajian Lam, Yeo, Ang dan Foo pada 2022 menunjukkan liputan media terhadap UEC lebih didorong sentimen politik serta naratif konflik etnik berbanding perbincangan mendalam mengenai kurikulum atau penyelarasan standard akademik. Hal ini menegaskan bahawa UEC telah dijadikan simbol perebutan makna negara bangsa antara komuniti, bukan sekadar isu pendidikan. Kecurigaan dalam masyarakat Melayu, misalnya, bukan muncul daripada prasangka kosong, tetapi berakar pada pengalaman sejarah tentang ketidakseimbangan peluang dan kebimbangan terhadap persaingan langsung di institusi
awam.

Penulis menegaskan bahawa pengiktirafan penuh UEC berpotensi mengubah kedudukan sistem kebangsaan yang dibina bagi memastikan semua warga melalui asas identiti yang sama. Sekiranya sistem selari seperti UEC diberikan akses simetri kepada universiti awam tanpa penyelarasan kurikulum, wujud risiko bahawa negara menghantar isyarat bahawa asas kebangsaan bukan lagi prasyarat bersama. Hal ini boleh membawa implikasi besar terhadap persepsi keadilan dalam kalangan lulusan sistem kebangsaan, yang perlu mematuhi kurikulum seragam dengan penekanan kuat terhadap bahasa Melayu, sejarah dan sivik.

Dalam konteks ini, pandangan tokoh akademik seperti Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong tentang risiko ketidakadilan tidak boleh diketepikan. UEC dibina berasaskan orientasi etnik tertentu dan tidak memikul fungsi sosialisasi politik yang digalas oleh sistem kebangsaan. Jika kedua-duanya diberi nilai yang setara tanpa penyelarasan, negara berisiko mewujudkan ketidakseimbangan dalam struktur identiti nasional yang telah sedia rapuh.

Pendidikan vernakular dan norma antarabangsa, antara hak minoriti dan kewajipan integrasi
Untuk berlaku adil, pendidikan vernakular tidak boleh dianggap suatu ancaman secara automatik. UNESCO dan pelbagai penyelidikan antarabangsa menegaskan pendidikan berasaskan bahasa ibunda menyokong literasi dan kesejahteraan pelajar, terutama dalam kalangan minoriti. Jim Cummins menunjukkan  penguasaan kukuh bahasa pertama membantu pembelajaran bahasa kedua dan pencapaian akademik apabila wujud jambatan kurikulum yang jelas. Manakala Tove Skutnabb Kangas pula memberi amaran bahawa pendidikan yang menafikan bahasa ibunda boleh mencetuskan bentuk peminggiran linguistik.

Namun norma antarabangsa juga menunjukkan sistem pendidikan minoriti tetap perlu berada dalam struktur nasional. Model Switzerland atau Kanada, meskipun bersifat multilingual, dikawal oleh standard kebangsaan yang sama bagi memastikan kesepaduan dasar. Tidak wujud sistem peperiksaan persendirian yang berdiri bebas tetapi menuntut akses penuh ke universiti awam. Dalam konteks Malaysia, UEC beroperasi di luar kawalan kurikulum negara dan tidak selaras dengan standard Peperiksaan Malaysia seperti SPM atau STPM.

Kymlicka dalam kerangka teori hak minoriti liberal, berhujah  keadilan dalam negara majmuk memerlukan hak kumpulan diinstitusikan dalam struktur negara, bukan melalui sistem pendidikan yang wujud sebagai entiti selari. Dengan kata lain, hak minoriti tidak harus membawa kepada pembinaan laluan yang terpisah secara struktural hingga menyukarkan penyepaduan nasional. UEC, dalam bentuk yang ada, menghadapi dilema ini kerana tuntutan pengiktirafan penuh tidak disertai konsesi terhadap penyelarasan kurikulum atau penyerapan nilai kenegaraan.

Tambahan pula, penyepaduan dasar pendidikan di Asia menunjukkan kejayaan sistem multilingual hanya berlaku apabila sekolah vernakular tetap berada dalam sistem kebangsaan. Filipina misalnya berjaya menggabungkan pendidikan bahasa tempatan dengan bahasa kebangsaan kerana terdapat satu kerangka pusat yang memayungi semua sekolah. Malaysia pernah memiliki kestabilan seakan ini, namun kegagalan mengekalkan konsistensi dasar pendidikan menyebabkan fragmentasi semakin melebar. Oleh itu, dari sudut perbandingan antarabangsa, tuntutan agar UEC diberikan pengiktirafan penuh tanpa integrasi kurikulum tidak sejajar dengan norma global yang mengutamakan penyelarasan dan kesatuan standard.

Risiko ketegangan identiti dan kebolehan negara mengurus perbezaan
Malaysia kini sedang memasuki fasa baharu krisis identiti yang ditandai oleh kecenderungan setiap komuniti untuk menegaskan naratif sejarah dan aspirasi kelompok masing-masing. Perkembangan ini bukan sahaja berlaku dalam wacana politik tetapi turut tercermin dalam pola pendidikan. Apabila sistem pendidikan semakin berpecah, isi kandungan pelajaran menjadi ruang untuk mengekalkan identiti kelompok berbanding membina horizon kebangsaan yang dikongsi.

Dalam persekitaran hubungan etnik yang semakin rapuh, sistem pendidikan kebangsaan merupakan ruang penting bagi mewujudkan titik temu. Kurikulum yang menekankan sejarah nasional, bahasa Melayu dan nilai sivik bertujuan memastikan generasi muda berkongsi sekurang-kurangnya kerangka asas tentang negara. Jika sistem pendidikan semakin longgar, terpisah dan bertambah jumlah laluan selari seperti UEC tanpa kawal selia nasional, negara berisiko melahirkan warga yang hidup dalam geografi sama tetapi beroperasi dengan rujukan budaya, sejarah dan aspirasi yang sangat berbeza.

Penolakan penuh terhadap UEC juga bukan tanpa kesan. Ia boleh menyemai rasa terpinggir dalam kalangan komuniti tertentu dan menambah persepsi negara tidak mengiktiraf sumbangan mereka. Inilah yang menyebabkan Sabah dan Sarawak memilih untuk mengiktiraf UEC secara terhad bagi tujuan biasiswa atau penyertaan dalam institusi milik negeri. Langkah ini mencerminkan tekanan sosial serta keperluan menangani persepsi ketidakadilan tanpa menjejaskan struktur nasional secara keseluruhan.

Namun pengiktirafan penuh tetap membawa risiko paling besar terhadap integrasi nasional. Struktur sosial Malaysia tidak cukup stabil untuk menampung dua sistem pendidikan menengah yang beroperasi dengan orientasi identiti berbeza tetapi diberikan akses setara ke institusi awam. Jika hal ini berlaku, asas penyatuan nasional yang telah rapuh boleh retak lebih dalam, membuka ruang kepada politik identiti yang semakin mengakar.

Oleh itu, jika pengiktirafan perlu dipertimbangkan, ia mestilah dalam bentuk paling minimum dan bersyarat ketat. Syarat seperti keperluan lulus Bahasa Melayu tahap tinggi termasuk penguasaan komunikasi, wajib mengambil modul sejarah Malaysia dan mematuhi standard minimum kurikulum kebangsaan boleh menjadi pelapik bagi mengawal risiko perpecahan sosial. Namun penulis menegaskan langkah ini bukan keutamaan dalam reformasi pendidikan negara. Fokus utama ialah mengukuhkan sekolah kebangsaan sebagai pusat integrasi, bukan menambah laluan yang menyaingi statusnya.

Analisis terhadap UEC memperlihatkan isu ini jauh melebihi perdebatan teknikal kelayakan. Ia menyentuh asas pembinaan identiti kebangsaan, sejarah pendidikan, kedudukan bahasa Melayu dan kemampuan negara mengurus hubungan etnik secara stabil. UEC, dalam bentuknya kini, tidak wajar diiktiraf sepenuhnya kerana ia beroperasi sebagai sistem selari
yang tidak disepadukan dengan struktur kebangsaan. Pengiktirafan penuh akan mengaburkan fungsi sekolah kebangsaan sebagai teras sosialisasi politik dan budaya.

Namun penolakan sepenuhnya juga membawa risiko. Jika tekanan politik atau tuntutan komuniti menjadikan pengiktirafan tidak dapat dielakkan, maka pengiktirafan bersyarat adalah satu-satunya bentuk yang dapat meminimumkan risiko perpecahan sosial. Apa jua keputusan, keutamaan negara harus kekal kepada pengukuhan sistem pendidikan kebangsaan agar ia benar-benar adil, berkualiti dan diyakini semua rakyat.

Penulis adalah Pensyarah, Jabatan Sejarah Institut Pendidikan Guru
Kampus Sultan Abdul Halim merangkap Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast