BATU PAHAT – Mohamad Arif Azinuddin Zaidi meraikan detik penuh bermakna apabila berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian Kelas Pertama serta menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen UTHM ke-25 yang berlangsung kelmarin.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi hadiah buat dirinya, malah mengukuhkan perjalanan akademik yang dibina dengan penuh dedikasi sejak hari pertama bergelar mahasiswa.
Sepanjang pengajiannya, Mohamad Arif, 23, merupakan penerima Biasiswa Yayasan Telekom Malaysia, satu pengiktirafan yang diberikan kepada pelajar secara individu.
Tajaan ini menjadi bukti komitmennya terhadap kecemerlangan akademik sejak di peringkat sekolah menengah dan asasi, selain menjadi dorongan penting dalam mencapai kejayaan tersebut.
Komitmen terhadap pembelajaran turut dizahirkan melalui penyertaan beliau dalam sesi pembelajaran berkumpulan bersama rakan sekelas, satu pendekatan yang membantu meningkatkan kefahaman, perkongsian idea dan kerjasama antara pelajar.
Lebih membanggakan, beliau kini merupakan salah seorang ‘key player’ dalam projek MyAduan Johor yang dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun 2026.
Projek ini merupakan sebuah platform digital yang memudahkan rakyat Johor khususnya penduduk di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan beberapa PBT lain untuk membuat aduan dengan lebih cepat serta menerima tindakan segera daripada pihak berkuasa.
Melalui peranan tersebut, beliau terlibat dalam mencipta proses aliran sistem aduan secara menyeluruh, menambah baik fungsi sistem aduan, menyelaras aspek teknikal bersama pembangun sistem dan aplikasi, menyediakan dokumen teknikal, memastikan proses pengurusan aduan lebih cekap, dan menjalankan pengujian sistem.
“Teknologi ialah alat penting yang memudahkan kehidupan masyarakat. Saya bersyukur kerana berpeluang menyumbang kepada rakyat Johor melalui projek MyAduan Johor, walaupun masih baharu dalam alam kerjaya,” katanya.
Dengan gabungan pencapaian akademik yang kukuh, pengalaman projek sebenar yang memberi impak kepada masyarakat serta disiplin diri yang tinggi, beliau kini bersedia
melangkah ke fasa seterusnya dalam kerjayanya.
Mohamad Arif berhasrat untuk terus mengembangkan kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Perisian dan menyumbang kepada pembangunan digital negara. – MalaysiaGazette
















