Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad.

JOHOR BAHRU – Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak wajar dilihat secara sempit atau emosional, tetapi perlu dinilai sudut kepentingan jangka panjang.

Katua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, dalam memperjuangkan UEC atau apa juga isu dalam negara ini, rakyat perlu menjunjung tinggi Perlembagaan dan mengangkat prinsip pembinaan perpaduan nasional.

“Pendekatan ini tidak berpihak kepada mana-mana kaum atau agama, tetapi berpihak kepada masa depan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, bersatu dan beridentiti kebangsaan yang jelas.

“Universiti dan perkhidmatan awam bukan sekadar institusi akademik atau kerjaya, tetapi merupakan tapak penting pembinaan nusa bangsa, dasar awam dan identiti nasional.

“Justeru, penguasaan Bahasa Kebangsaan dan kefahaman sejarah Malaysia adalah keperluan asas yang tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada masa yang sama, perbincangan mengenai UEC tidak harus berakhir dengan penolakan penuh.

“Perlu ambil pendekatan rekonsiliasi pendidikan iaitu mengambil elemen-elemen positif, baik daripada mana-mana jalur sistem peperiksaan termasuk UEC untuk diperkayakan dalam sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor berkata, pendekatan itu tanpa menjejaskan tunjang perlembagaan Persekutuan dan pembinaan masyarakat majmuk.

Sehubungan itu, semua pihak khususnya orang politik perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit.

Tegasnya, isu UEC tidak wajar terus dijadikan modal perdebatan politik setiap kali pilihan raya tiba, sebaliknya dibincangkan secara matang dalam kerangka reformasi pendidikan nasional.

“Saya percaya integrasi nasional bermula dengan pendidikan dan pendidikan yang berjaya ialah pendidikan yang melahirkan warganegara berakar pada identiti kebangsaan dan terbuka kepada kepelbagaian ilmu dan budaya,” katanya.

Sokongan penuh ujarnya, diberikan terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keutamaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama menurutnya, mengiktiraf kepentingan bahasa lain dalam konteks ilmu, ekonomi dan kemajuan negara.

“Mana-mana laporan media yang mendakwa Perdana Menteri menolak atau menutup terus isu UEC adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Berdasarkan rakaman penuh kenyataan beliau, jelas bahawa PMX mengambil pendekatan berhati-hati, inklusif dan berimbang dengan meletakkan asas kenegaraan terlebih dahulu sebelum memperkukuh kepelbagaian bahasa dan budaya,” tambahya.

Semalam Anwar berkata, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan negara.

Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang dilapor berkata, parti itu akan berjumpa dengan perdana menteri berhubung pengiktirafan UEC.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast