JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM8.4 juta memindahkan Unit Ibu dan Anak Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah dan KK Sultan Ismail bagi memastikan ibu, bayi serta keluarga mendapat rawatan lebih selesa, selamat dan teratur.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, unit tersebut di KK Gelang Patah mula beroperasi sepenuhnya pada 8 Disember 2025 bertujuan mengurangkan kesesakan di KK Gelang Patah sedia ada.
Beliau memberitahu, unit tersebut di KK Sultan Ismail pula mula beroperasi sejak 1 Disember lalu.
“Fasiliti ini bukan sahaja menampung keperluan rawatan ibu dan anak, malah menyedia kemudahan Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (Drive-Thru) bagi memudahkan urusan pesakit, khususnya golongan bekerja dan warga emas .
“Pemindahan kedua-dua klinik ini adalah hasil kerjasama strategik antara kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Waqaf An-Nur serta pihak swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, fasiliti itu menempatkan pelbagai perkhidmatan penting termasuk imunisasi, penjagaan ibu hamil, rawatan bayi, farmasi, makmal, fisioterapi, pemulihan, kaunseling dan dietetik dengan kehadiran harian mencecah ratusan pesakit.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar dan berkesan katanya, seramai 26 petugas ditempatkan di KK Gelang Patah dan 33 petugas di KK Sultan Ismail.
Menurut beliau, ini melibatkan pegawai perubatan, jururawat, pegawai farmasi serta juruteknologi makmal.
“Mereka inilah barisan hadapan yang memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan dengan profesional dan penuh dedikasi.
“Saya yakin, dengan penambahan fasiliti dan penambahbaikan perkhidmatan ini, Bangsa Johor akan menikmati akses kesihatan yang lebih mudah, efisien dan berkualiti.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Johor akan terus komited untuk bekerjasama dengan pihak kementerian kesihatan bagi memperkukuh sektor kesihatan demi manfaat Bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















