Hujan lebat semalam mengakibatkan beberapa kawasan dan Bandaraya Johor Bahru dinaiki banjir kilat

JOHOR BAHRU – Beberapa daerah di negeri ini berpotensi banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan melanda negeri ini tahap waspada bermula esok hingga 16 Disember ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara daerah yang terlibat membabitkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

“Kawasan-kawasan ini dijangka mengalami hujan berterusan yang memerlukan perhatian khusus, terutamanya penduduk di lokasi rendah dan berhampiran sungai.

“Hujan berterusan ini membawa implikasi seperti risiko banjir kilat dan banjir rendah, gangguan pada pergerakan jalan raya serta kemungkinan operasi lapangan yang terjejas.

“Paras sungai di kawasan tertentu juga berpotensi meningkat dan memerlukan pemantauan rapi dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

Katanya, bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum, difahamkan bahawa para pegawai daerah di kawasan terlibat telah mengambil langkah awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut Onn Hafiz, agensi-agensi utama di peringkat negeri dan daerah juga berada dalam mod siap siaga, dengan pasukan operasi bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya keadaan memerlukan tindakan segera.

“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan cuaca terkini daripada sumber rasmi dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

“Semoga Allah SWT melindungi dan memelihara kita semua daripada sebarang musibah,” katanya.

Semalam, beberapa jalan dan kawasan rendah di bandar raya ini dilanda banjir kilat membabitkan Jalan Kolam Ayer, Jalan Nong Chik, Kampung Mohd Amin dan Jalan Sungai Chat.

Dalam kejadian itu juga menyebablan seramai 34 mangsa termasuk 18 bayi dilaporkan terperangkap di sebuah tadika selepas banjir kilat melanda kawasan Kampung Mohd Amin yang terletak berhampiran Tepian Tebrau, di sini.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast