Remaja yang ditahan ketika berlumba dan melakukan aksi ‘Superman’ di Lebuhraya Linkedua, Iskandar Puteri awal pagi ini.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan enam remaja ketika berlumba dan melakukan aksi ‘Superman’ di Kilometer 16 Lebuhraya Linkedua, arah selatan di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, remaja remaja terbabit berumur antara 15 hingga 18 tahun dicekup hasil operasi dan pemantauan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah itu.

“Semua remaja terbabit dipercayai melakukan aksi meniarap di atas motosikal ketika berlumba tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain, sekali gus membahayakan nyawa orang awam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak 12 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan kesemua motosikal juga turut disita.

Semua remaja akan dibebaskan dengan jamin polis setelah selesai siasatan dijalankan, katanya.

Kumarasan menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti samseng jalanan dan akan terus mempergiatkan operasi serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih degil melanggar undang-undang.

Beliau turut mengeluarkan amaran keras kepada golongan remaja agar tidak terlibat dalam aktiviti tidak bermoral dan berisiko tinggi seperti perlumbaan haram.

“Ibu bapa dan penjaga diminta supaya lebih peka dan memantau pergerakan anak-anak, khususnya pada waktu malam.

“Jangan sampai nasi menjadi bubur, sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada guna,” ujarnya.

Polis berharap kerjasama semua pihak dapat membantu membanteras kegiatan berbahaya itu demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast