JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan beberapa langkah menyelesaikan krisis pelupusan sampah di negeri ini yang semakin meruncing dan tidak lagi boleh dianggap isu pinggiran.
Bendahari Pejuang Negeri Johor, Dr Khairil Anwar Razali berkata, antaranya menyediakan tapak pelupusan atau stesen transit di setiap daerah bagi mengurangkan beban perjalanan pekerja.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang berkata, cadangan pertama itu merupakan langkah jangka pendek sementara menunggu teknologi insinerasi moden.
“Kedua dengan merangka dan melaksanakan pelan jangka panjang berasaskan teknologi insinerasi moden yang selamat dan mesra alam.
“Ketiga, selain teknologi insinerasi moden, teknologi kitar semula seperti di Sweden, boleh diguna pakai di mana 6.2 juta tan sampah dapat menghasilkan 2 TWh elektrik iaitu 30 peratus daripada keperluan tenaga eletrik daerah setempat,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, pembinaan teknologi itu tidak mengganggu keperluan infrastruktur rakyat sebagaimana pusat data yang memerlukan kapaisiti air yang banyak, malah menyumbang kepada tenaga eletrik yang bersih (bukan tenaga fosil).
Keempat pula katanya, mengutamakan suara pekerja lapangan serta pandangan masyarakat dalam setiap keputusan berkaitan pengurusan sisa.
Beliau berkata, sudah tiba masanya Johor berhenti menangguhkan penyelesaian dan mula bertindak dengan lebih berani, adil dan berpandangan jauh.
Pejuang Johor tetap berdiri bersama-sama rakyat serta barisan pekerja kebersihan yang selama ini memikul beban sistem yang pincang.
“Kami menuntut perubahan sebenar dan bukan ubat penenang sementara, tetapi reformasi menyeluruh demi masa depan Johor yang lebih bersih, selamat dan bermaruah.
“Dalam Negeri Johor bergerak ke teknologi hijau, keperluan pelupusan sampah secara sistematik perlu diberi keutamaan. Kaedah yang ada sekarang adalah konvensional, hanya menyelesaikan masalah sampah jangka pendek,” ujarnya.
Khairil Anwar berkata, walaupun bantuan one-off diumumkan kerajaan negeri untuk golongan tertentu dialu-alukan, langkah itu tidak harus menjadi gula-gula politik mengaburi masalah lebih besar sedang ditanggung rakyat dan pekerja lapangan.
Dalam era kemodenan baharu yang digerakkan oleh projek mega seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) katanya, sistem pengurusan sisa negeri masih kekal di tahap lama dan tidak mampu menampung keperluan semasa.
“Hari demi hari, para pekerja kebersihan dan pemandu lori sampah terpaksa menempuh perjalanan jauh di mana ada yang melebihi dua jam pergi dan balik, hanya untuk menghantar sisa ke tapak pelupusan di luar kawasan operasi seperti Kota Tinggi atau Batu Pahat,” dakwanya.
Keadaan itu tambahnya, bukan sahaja menjejaskan kecekapan operasi, malah mengundang risiko terhadap keselamatan dan kesihatan mereka.
“Keletihan melampau, tekanan kerja berpanjangan serta insiden lori terbalik dan kemalangan maut akibat perjalanan jauh adalah realiti pahit yang tidak boleh lagi diabaikan.
“Bayaran lebih masa yang diberikan pula tidak mampu menampung beban fizikal dan mental yang ditanggung,” katanya.
Bagi masyarakat awam katanya, kelewatan kutipan sampah menyebabkan timbunan sisa di kawasan kediaman dan komersial, seterusnya mengundang bau busuk, pencemaran serta peningkatan haiwan perosak seperti lalat, tikus dan anjing liar.
Aliran trafik turut terjejas dengan pergerakan lori besar, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan, katanya.
“Imej bandar-bandar seperti Kluang dan Simpang Renggam tercalar, jauh daripada standard yang sepatutnya diberikan kepada pembayar cukai,” katanya.
Katanya, lebih mengecewakan, kerajaan negeri hanya dilihat menukar lokasi pelupusan dari satu daerah ke daerah lain tanpa pelan menyeluruh atau penyelesaian kekal.
“Bantuan RM200 yang diumumkan baru-baru ini hanyalah langkah sementara yang langsung tidak menyentuh punca sebenar masalah. Apa gunanya saguhati ringkas jika nyawa pekerja dan kesejahteraan rakyat terus terancam,” soalnya.
Pejuang Johor menegaskan bahawa penyelesaian sebenar memerlukan pendekatan strategik berasaskan teknologi moden.
“Singapura telah membuktikan kejayaan melalui sistem insinerasi canggih yang membakar sisa pada suhu tinggi sehingga mengurangkan isipadu sisa 90 peratus dengan kawalan pencemaran yang ketat dan sokongan Kemudahan Pengurusan Sisa Bersepadu (IWMF) ke arah Sifar Sisa. Johor tidak boleh terus ketinggalan,” katanya.- MalaysiaGazette
















