KLUANG -Seorang bekas pengurus syarikat berputih mata apabila RM241,000 lesap diperdaya scammer yang menyamar dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 47 tahun menerima panggilan daripada seorang individu pada 6 November lalu.
“Individu terbabit memperkenal diri dari NFCC. Mangsa diberitahu bahawa nombor telefon milik mangsa telah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Panggilan mangsa kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan diberitahu bahawa terdapat waran tangkap telah dikeluarkan atas nama mangsa kerana terlibat aktiviti penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa diminta untuk memindahkan wang miliknya ke dalam akaun yang telah diberikan suspek bagi tujuan siasatan.
“Antara tempoh 18 hingga 27 November mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM241,000 ke dalam tujuh akaun yang berbeza secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, selepas pembayaran dibuat mangsa tidak menerima kembali semua wang tersebut.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun serta disebat dan denda.
“Polis Daerah Kluang menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila menerima panggilan telefon daripada nombor telefon yang tidak dikenali.
“Buat semakan dengan pihak berkuasa agar orang ramai lebih berwaspada apabila menerima panggilan seperti itu,” katanya.- MalaysiaGazette

















Buat 7 pindahan keakaun berbeza???Makna nya mangsa tidak pernah ada akal untuk berfikir bila hendak memindahkan ke 7 akaun berbeza.. samada sorang yg malas membaca atau tidak pernah nak ambil tahu cara atau SOP scammer..gadget ditangan tapi tidak untuk mencari maklumat.