Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) berpendirian pihak polis perlu mengekalkan professional, ketelusan dan kesahihan prosedur berkaitan kes tembakan di Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, insiden kehilangan nyawa semasa operasi polis adalah isu serius yang menuntut ketelusan, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) siasatan dan tahap akauntibiliti tertinggi.

“Semua dapatan hendaklah berpandukan fakta, proses sah dan standard profesionalisme yang tidak diragui, selain bebas daripada bias atau maklumat yang berpilih-pilih, bagi memastikan kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan
terus terpelihara,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau mewakili ahli-ahli Parlimen PN menyuarakan kebimbangan dan rasa kurang selesa berikutan laporan terbaru berkait insiden tembahan itu terutama pendedahan yang dibuat oleh polis Melaka mengenai perkara-perkara yang masih disiasat oleh Pasukan Siasatan Khas Bukit Aman.

Menurut Takiyuddin, kenyataan awam yang berkaitan maklumat atau sejarah peribadi dan keluarga memberi gambaran buruk tentang saksi atau berisiko menimbulkan prasangka terhadap individu berkait kes tersebut.

Tambahnya lagi, ia berpotensi memberikan gambaran salah dan kesimpulan yang pramatang kerana proses siasatan sedang berjalan .

“Keadaan sedemikian, sama ada secara sengaja atau tidak, boleh mempengaruhi sentimen awam sekali gus melemahkan integriti proses siasatan itu sendiri.

“Pendedahan maklumat peribadi tertentu atau mengenai anggota keluarga mereka boleh dilihat sebagai percubaan untuk membentuk naratif awam lebih awal sebelum pasukan khas Bukit Aman melengkapkan tugas mereka,” jelasnya.

Pada 3 Disember lalu, media melaporkan ahli keluarga tiga penjenayah terbabit menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga suspek yang mati itu bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.

Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

Kejadian tembak menembak berlaku sekitar 4.30 pagi apabila tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Akibat serangan tersebut, anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.

Ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM1.35 juta.

Terbaharu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata wanita yang mendakwa lelaki ditembak mati polis di Durian Tunggal baru-baru ini adalah suaminya sebenarnya hanya kekasih suspek berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast