MERSING -Sebuah bot yang membawa 10,000 liter diesel terbakar ketika berlabuh di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau di sini semalam.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian tiada mangsa yang terbabit.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 5.01 petang.
Susulan itu katanya, seramai lima anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 1 kilometer.
“Kebakaran tersebut memusnahkan kira-kira 80 peratus bot berkenaan. Kebakaran dapat dikawal dan operasi memadam kebakaran tamat pukul 6.20 petang.
“Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette
















