KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan ‘Award Akhir’ berhubung tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu bukan bermaksud ancaman terhadap Sabah telah berakhir.
Sebaliknya, pemerhati politik tempatan, Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, ancaman dari sudut keselamatan, geopolitik serta kedaulatan Sabah masih wujud dan perlu diberi perhatian serius.
Beliau yang juga Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS) berkata, episod tuntutan itu juga perlu dijadikan peringatan keras bahawa keselamatan Sabah tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, apa yang lebih penting kini ialah memahami bahawa kejayaan Malaysia di mahkamah luar negara tidak mengubah hakikat bahawa Filipina tidak pernah secara rasmi menggugurkan tuntutan sejarah mereka terhadap Sabah.
Ia jelasnya, sekali gus menjadikan isu tuntutan oleh waris Kesultanan Sulu itu masih hidup dan berpotensi dimanipulasi pada bila-bila masa.
“Selagi Manila tidak membuat pendirian muktamad, Sabah tetap berdepan ‘imminent threats’, bukan hanya dari aspek tuntutan diplomatik, tetapi juga risiko eksploitasi oleh pihak berkepentingan termasuk kumpulan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu, berhubung tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah.
Susulan keputusan itu, Malaysia kini bukan sahaja dibersihkan daripada tuntutan timbang tara yang tidak sah, malah penuntut Sulu turut diarahkan membayar kos berjumlah €200,000 (kira-kira RM959,180) kepada negara.
Menurut Mohd Zaky, meskipun kemenangan Malaysia di Paris merupakan perkembangan positif, tetapi ia bukan lesen untuk berasa selesa atau menganggap Sabah kini bebas daripada risiko geopolitik yang telah lama membayangi negeri itu.
Ujarnya, sejarah pencerobohan Lahad Datu perlu menjadi pengajaran bahawa ancaman tidak semestinya bermula melalui saluran rasmi, sebaliknya sering dimulakan melalui unsur provokasi, propaganda, atau gerakan kecil yang dilihat remeh pada peringkat awal.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa memperkukuh risikan, kawalan maritim dan pemantauan rangkaian sosial bagi mengesan sebarang pergerakan mencurigakan, termasuk usaha pihak tertentu menghidupkan kembali sentimen tuntutan ke atas Sabah.
Malah, tambahnya, apa yang berlaku di peringkat antarabangsa boleh mencetuskan gelombang tindak balas di lapangan terutama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang menjadi pintu masuk paling dekat dan paling terdedah.
“Saya percaya Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) tidak memandang perkara ini sebelah mata.
“Kita tidak boleh menunggu isyarat jelas untuk bertindak. Jika negara lain boleh menggunakan saluran undang-undang untuk menekan Malaysia, bayangkan apa yang boleh dilakukan oleh elemen lain yang lebih ekstrem dan tidak terikat kepada protokol diplomatik,” katanya. – MalaysiaGazette
















