Gambar : IPD Rompin

KUANTAN – Sebuah lori tanker melintang di kilometer 109, Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran jambatan Kampung Gadak, Muadzam Shah, Rompin menjadi punca kesesakan luar biasa kira-kira lima kilometer di kedua-dua arah laluan itu pagi ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan yang membabitkan dua buah lori itu kira-kira jam 5.11 pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan melibatkan sebuah lori trailer membawa muatan besi terpakai dengan sebuah tanker membawa muatan bahan kimia tidak berbahaya.

Katanya, lori trailer yang dipandu lelaki berusia 46 tahun dari arah Melaka menghala ke arah Kuantan, manakala lori tanker pula dipandu lelaki berusia 53 tahun pula dari arah Terengganu menuju ke Seremban.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori trailer itu bergerak lurus dan perlahan, namun secara tiba-tiba dipercayai lori tanker itu dari arah bertentangan hilang kawalan dan memasuki bahu jalan sebelah kiri.

“Lori tanker itu kemudian dipercayai berpusing melintang ke arah sebelah kanannya dan masuk ke laluan bertentangan, lalu melanggar bahagian kanan lori trailer,” katanya dalam kenyataan.

Akibat kemalangan tersebut, Sharif Shai berkata, pemandu lori trailer berkenaan mengalami kecederaan ringan pada bahagian tempurung lutut sebelah kanan dan dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Pemandu lori tanker itu katanya mengalami kecederaan pada bahagian kaki sebelah kiri dan dikejarkan ke hospital sama untuk diberikan rawatan kecemasan.

“Hasil siasatan mendapati, kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu lori tanker yang memandu secara cuai.

“Pihak polis akan mengadakan ujian saringan air kencing utk menentukan samada terdapat pengaruh alkohol atau narkotik terlibat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi.

Beliau turut mengesahkan berlaku tumpahan bahan kimia akibat kemalangan terbabit, namun katanya pihak bomba mengesahkan keadaan adalah tidak berbahaya.

Kedua-dua lori itu juga katanya sudah dialihkan dan aliran trafik di kedua-dua arah juga sudah kembali pulih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast