GOMBAK – Kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperkukuhkan sistem kesiapsiagaan dan amaran awal bagi menghadapi risiko gelombang kedua banjir yang lebih besar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun fenomena cuaca itu sukar dijangka secara tepat, keutamaan ketika ini adalah memindahkan penduduk lebih awal khususnya komuniti yang berada di kawasan berisiko tinggi.
“Kita tidak dapat menjangkakan tetapi gelombang ini akan berlaku di pantai timur dan ianya merupakan gelombang yang kedua akan melebar bukan sahaja di Pantai Timur Kelantan,Terengganu tetapi juga ke Pahang juga melebar hingga ke Johor itu juga di Sarawak di sebelah selatan Sarawak.
“Ini akan berlaku tetapi yang penting sistem yang telah kita wujudkan ialah daripada segi kesiap-siapan dan sistem amaran awam tujuannya ialah supaya pemindahan itu dapat dilakukan daripada awal bagi mengelakkan kehilangan awam, kerosakan dokumen dan juga kita dapat menyiap-siagakan persiapan bagi mangsa-mangsa yang kita jangkakan daripada kawasan hitam itu untuk pergi ke Pusat Pemindahan Sementara,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebelum ini, Gelombang Monsun Kedua dijangka melanda Pantai Timur, Johor, Sabah dan Sarawak mulai 5 hingga 8 Disember membawa hujan berterusan ke seluruh kawasan terlibat.
Sehubungan itu, penduduk digesa untuk bersiap sedia, mengambil langkah berjaga-jaga dan menjaga keselamatan diri. – MalaysiaGazette
















