KUALA LUMPUR – Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin mempersoalkan hala tuju sebenar MIC dalam arus politik negara.
Beliau turut mempersoalkan mengapa MIC masih kekal dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya benar-benar mahu meninggalkan gabungan parti itu dan jika semangat setiakawan tidak lagi menjadi pegangan.
Menurutnya, keputusan Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC baru-baru ini telah membuat keputusan untuk parti itu keluar daripada BN.
Tambah beliau, meskipun keputusan itu ditangguhkan yang kemudian disusuli dengan surat menyertai semula Perikatan Nasional (PN) yang tular, ia merupakan perkara yang sangat mengguris UMNO dan parti komponen BN yang lain.
“Mengapa begitu sekali posisi politik yang dibuat? Sedangkan masih ada lagi ADUN dan MP (Ahli Parlimen) MIC lahir dari kerjasama BN.
“Kalau keputusan untuk tidak bersama BN dan menyertai PN semestinya ia akan melanggar akta lompat parti dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang?
“Keluar BN sertai PN, tetapi masih menyokong PMX? Tidak ke pening pendirian sebegini?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda MIC, K Arvind yang membidas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung status keanggotaan MIC dalam gabungan itu seperti dilaporkan sebuah portal berita.
Terdahulu, Hafiz berkata, keputusan MIC untuk kekal atau keluar daripada BN mestilah berteraskan kepada kompas kekuasaan.
Menurutnya, konteks kuasa itu meliputi kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, peranan membuat keputusan dalam koalisi politik dan akhirnya adalah penjawatan di dalam struktur kerajaan.
“Semestinya itulah yang menjadi pertimbangan untuk MIC buat bahkan mana-mana parti pun akan ke arah ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















