Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan sokongan terhadap langkah pelesenan baharu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertujuan memperkukuh keselamatan digital negara dan keselamatan dalam talian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif “Lesen Dianggap” sebagai langkah awal untuk menambah baik tadbir urus platform digital yang beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata, persekitaran digital semasa memerlukan pendekatan kawal selia yang lebih responsif bagi menangani ancaman seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, kandungan ekstremis serta penyalahgunaan platform bagi aktiviti haram.

“Usaha ini mencerminkan komitmen bersama untuk melindungi rakyat Malaysia dan memastikan keselamatan mereka dalam persekitaran siber masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalid menambah, PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan agensi lain menerusi pendekatan “keseluruhan kerajaan” bagi menangani kemudaratan dalam talian dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, kerjasama itu akan membantu meningkatkan keberkesanan siasatan, memperkukuh perkongsian maklumat, serta mempercepatkan tindakan terhadap kandungan dan aktiviti berbahaya dalam ruang digital.

Mohd Khalid turut menegaskan semula komitmen agensinya untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada serta meningkatkan kesiapsiagaan dalaman bagi menyokong rangka kerja keselamatan digital yang dirancang oleh kerajaan.

Tambahnya, polis yakin rangka kerja baharu itu akan memperkukuh perlindungan kepada orang awam, menjaga integriti ruang digital Malaysia serta mengukuhkan kerjasama antara pihak berkuasa dan penyedia platform digital.

Katanya lagi, inisiatif itu amat penting bagi memastikan keselamatan generasi masa depan, termasuk kanak-kanak dan keluarga, di tengah-tengah cabaran siber yang semakin meningkat.

Terdahulu hari ini, MCMC mengumumkan platform media sosial dan pemesejan utama akan didaftarkan secara automatik di bawah rangka kerja pelesenan Malaysia bermula 1 Januari 2026.

Jelasnya, platform yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia, termasuk WhatsApp, TikTok, Facebook dan YouTube akan tertakluk di bawah peraturan baharu tersebut bagi memperkukuh akauntabiliti dan pematuhan terhadap undang-undang tempatan.

MCMC berkata, langkah itu menggunakan peruntukan pengiktirafan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia untuk mengklasifikasikan platform yang layak sebagai pemegang Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi, sambil membenarkan mereka meneruskan operasi perkhidmatan global seperti biasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast