JOHOR BAHRU – Perbincangan mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu dijalankan secara matang, berasaskan fakta dan data dengan mengambil kira kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman berkata, isu itu memerlukan pendekatan lebih tegas, praktikal dan berpandangan jauh, bukannya retorik semata-mata.
“Pejuang Johor menekankan bahawa pendidikan adalah asas kepada perpaduan dan pembangunan negara. Bagaimanapun pengiktirafan UEC tidak seharusnya menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tunjang identiti nasional.
“Setiap pelajar yang mengikuti sistem pendidikan alternatif mesti melalui penilaian standard yang jelas, termasuk penguasaan bahasa kebangsaan dan kefahaman sejarah Malaysia sebelum dibenarkan melanjutkan pengajian atau memasuki perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, cadangan pendekatan rekonsiliasi pendidikan wajar disertai garis panduan praktikal dan konkrit agar pengiktirafan UEC tidak menimbulkan ketidaksamaan pendidikan atau kekeliruan dalam sistem akademik dan kerjaya di negara ini.
Tegasnya, semua parti politik perlu mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, bukan menggunakan isu UEC sebagai modal politik.
Pendidikan yang berjaya katanya, bukan sahaja menghormati kepelbagaian ilmu dan budaya tetapi memperkukuh identiti kebangsaan dan kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, Pejuang Johor kekal komited untuk pendidikan yang berlandaskan prinsip kenegaraan, meritokrasi dan keadilan untuk semua rakyat.- MalaysiaGazette
















