Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh

KLUANG – Polis menahan enam lelaki warga tempatan atas beberapa kesalahan dalam Op Mabuk di sekitar bandar ini dan Simpang Renggam antara Jumaat hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, operasi berkenaan dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Sepanjang tempoh operasi enam lelaki tempatan berusia 22 hingga 50 tahun ditahan. Dua daripada mereka ditangkap bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM15,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, empat lagi lelaki ditangkap bawah Seksyen 45A (1) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 (Memandu atau menjaga kenderaan motor dengan kepekatan alcohol melebihi had yang ditetapkan).

Jelasnya, sekira sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun.

Semua tangkapan katanya, direman selama dua hari bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

Bahrin memberitahu, dalam operasi berkenaan secara keseluruhan seramai 25 individu dengan 31 buah kenderaan diperiksa.

Menurutnya, 10 keping saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Operasi sedemikian akan kerap dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin dan tidak berlaku sebarang kecelakaan yang tidak diingini,” ujarnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau mengubungi IPD Kluang 07-7784222; direct line 07-7784256; hotline 07-7766822 dan tablet DCC 014-365682. – MalaysiaGazette

\

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast