KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dua ekor Hylobates spp atau kera ke Mumbai, India semalam.

AKPS berkata, cubaan berkenaan dipatahkan menerusi pemeriksaan yang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 terhadap sebuah bagasi penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur yang dijadualkan berlepas ke negara itu pada 7.50 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua ekor hidupan liar yang disyaki daripada spesis Hylobates spp telah ditemui di dalam bagasi milik seorang penumpang warganegara Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut kenyataan itu, wanita warga tempatan berusia 38 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Anggaran nilai sitaan bagi hidupan liar berkenaan adalah sebanyak RM6,000.

“Individu terbabit kemudiannya dibawa ke Balai Polis Aeropolis dan satu laporan polis telah dibuat bagi tujuan siasatan lanjut,” tambahnya.

AKPS menambah, kes berkenaan disiasat di Bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 686.

“Kesemua hidupan liar yang disita telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) KLIA untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast