KOTA TINGGI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan di Kilometer 68.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini, hari ini.
Kemalangan tersebut mengorbankan Mohammad Fiqrie Hafidin yang berusia 20 tahun dan bekerja sebagai operator kilang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pukul 2.30 petang melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa terbabas masuk laluan bertentangan merempuh kenderaan terbabit yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat manakala pemandu SUV tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
Tambahnya, ini termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun, jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette
















