Nornekman Osman

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) dicadang menyerap sebahagian kaedah dan kekuatan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman berkata, pendekatan itu dilakukan tanpa perlu mewujudkan dua sistem berasingan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan.

Jelasnya, ia kerana terdapat elemen-elemen positif dalam sistem UEC yang boleh dipelajari dan diserapkan.

Beliau pada masa menegaskan, sistem pendidikan negara mesti berlandaskan satu kerangka kebangsaan yang kukuh.

“Tidak ada negara maju yang mengadaptasi dua sistem pendidikan kebangsaan secara serentak. Jepun dan Korea, sebagai contoh, menggunakan bahasa kebangsaan mereka sebagai medium utama pendidikan dan tetap berjaya muncul sebagai negara maju.

“Malaysia juga perlu mengekalkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang bersepadu, berteraskan bahasa kebangsaan sebagai asas pembinaan negara bangsa,” katanya dalam kenyataan.

Berhubung dengan pembelajaran bahasa tambahan seperti Mandarin dan Inggeris, Nornekman berpandangan, adalah memadai jika bahasa-bahasa itu ditawarkan sebagai subjek elektif dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Dengan cara itu, katanya, pelajar tetap berpeluang menguasai bahasa tambahan untuk kegunaan global tetapi asas pendidikan kebangsaan kekal berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu.

Pejuang Johor menegaskan, semua pihak politik perlu mengutamakan kepentingan negara dan rakyat bukan menggunakan isu UEC sebagai modal politik.

Pendidikan yang berjaya bukan sahaja menghormati kepelbagaian ilmu dan budaya tetapi juga memperkukuh identiti kebangsaan dan kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan, katanya.

“Kami menyeru agar perbincangan mengenai UEC dijalankan secara matang, berasaskan fakta dan data dengan mengambil kira kepentingan rakyat Johor serta Malaysia secara keseluruhan.

“Pejuang Johor kekal komited untuk pendidikan yang berlandaskan prinsip kenegaraan, meritokrasi dan keadilan untuk semua rakyat,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast