KLUANG – Operasi penguatkuasaan oleh pihak pengurusan Flat Haji Manan di sini terhadap penghuni yang terus degil tidak mahu membayar tunggakan sewa hingga RM168,290 tidak wajar dipolitikkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, tindakan itu yang dilakukan pihak tertentu jelas tidak bertanggungjawab dan tidak mengetahui isu sebenarnya.
Jelasnya, tunggakan sewa di flat berkenaan sejak 2007 sudah beberapa kali dibincangkan dengan penduduk.
“Kini blok berkenaan dihuni seramai 44 keluarga (penyewa) daripada 64 pintu yang ada, walaupun terkekang dengan jumlah tunggakan sewa rumah yang tinggi namun kerja-kerja penyelenggaraan tetap dilakukan demi keselesaan penyewa.
“Sudah beberapa kali sesi perbincangan dan saya telah merayu pihak pengurusan supaya diberi peluang kepada penyewa untuk selesaikan bayaran secara ansuran tetapi masalah ini masih terus berlaku,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.
Sebelum ini, terdapat pihak tertentu yang mempersoalkan tindakan operasi pemutihan di flat tersebut dilakukan pihak Pejabat Daerah Kluang bagi memburukkan reputasi kerajan negeri.
Syed Hussein berkata, jumlah tunggakan bayaran sewa rumah itu kini mencecah RM168,290 walaupun kadar sewa bulanan hanya RM140 dan tidak pernah dinaikkan sejak mula diperkenalkan pada 2007.
“Itu keadaan yang berlaku keatas sewaan rumah di Blok E yang dikendalikan oleh Pejabat Daerah Kluang kepada penghuni yang sudah menghuni lebih 15 tahun lalu dan diberikan kemudahan membayar secara ansuran setiap bulan,” katanya.
Syed Hussein berkata, ia berbeza dengan Blok A,B,C dan D yang dikawal selia pengurusannya oleh Perbadanan Perumahan Rumah Johor (PPRJ).
Rumah sewa kerajaan itu, ujarnya, dikendalikan sepenuhnya pengurusan Pejabat Daerah Kluang dan 10 penyewa yang telah keluar tanpa memaklumkan tertunggak bayaran sewa rumah antara RM1,680 hingga RM10,220.
Menurutnya lagi, kini satu perbincangan dilakukan agar agar bangunan Blok E diserahkan kepada pihak PPRJ untuk diuruskan memandangkan perbadanan tersebut mempunyai Akta penguatkuasaan yang lebih teratur.
Katanya lagi, ia termasuk lebih banyak peruntukkan boleh disalurkan yang akan memberi ekosistem lebih baik kepada semua penyewa.
“Sehubungan itu, dakwaan mengatakan samada wakil rakyat terdahulu hingga sekarang tidak membela nasib penghuni di flat ini adalah tidak benar kerana sebagai pemimpin dikawasan ini, kami tahu apa yang terbaik untuk mereka,” katanya.- MalaysiaGazette
















