Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan beberapa sentimen yang berlegar di dalam media sosial susulan pengumuman rombakan Kabinet semalam tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana.

Sentimen itu, kata beliau, termasuk persoalan berkenaan pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Katanya, wujud sentimen dalam kalangan netizen berkenaan pelantikan Marhamah yang disifatkan personaliti yang penuh kontroversi dalam isu kematian pelajar yang dipercayai akibat dibuli, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Tambahnya, sentimen lain mengenai Marhamah seperti yang berlegar dalam kalangan netizen juga adalah terkait hutang scam emas RM14 juta dan mengenai isu amalan doa dan ibadah.

Selain itu, ujar beliau, sentimen rakyat juga menyentuh mengenai mengapa Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu kedua-duanya diwakili kaum Cina daripada DAP dan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelasnya, ia telah mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat sama ada lantikan itu merupakan permulaan untuk pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.

Sentimen lain dalam kalangan rakyat juga sama ada pelantikan aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli Abdul Halim sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang paling lantang menuntut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan pada zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu mampu merealisasikan agenda tersebut.

“Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen yang kuat berlegar di ruangan media sosial sejak pengumuman semalam. Sentimen sebegini tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut berkongsi fakta berkenaan komposisi kaum dan parti-parti gabungan kerjasama susulan rombakan Kabinet seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menurut beliau, daripada segi komposisi kaum, kalangan menteri yang dilantik terdiri daripada seramai 17 orang Melayu; Cina (5) dan India (2), manakala Bumiputera Sarawak dan Sabah masing-masing lima dan tiga orang.

Bagi lantikan timbalan menteri pula, seramai 10 menteri Melayu dilantik; Cina (5); India (2); Bumiputera Sarawak (7) dan Bumiputera Sabah (6).

Sementara itu, komposisi parti-parti gabungan kerjasama Kerajaan Perpaduan pula menyaksikan seramai sembilan menteri dilantik daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR); DAP (5); Parti Amanah Negara (2); Barisan Nasional (8); Gabungan Parti Sarawak (5) dan Gabungan Rakyat Sabah (1). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast