Jasri (dua dari kiri) membawa jenazah anaknya keluar dari Unit Forensik Hospital Alor Gajah hari ini.

ALOR GAJAH – “Waktu kejadian, saya sedang jaga lembu di seberang jalan manakala anak bermain dengan kakaknya sambil diperhatikan isteri di hadapan rumah sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan dentuman kuat.

“Orang ramai mula berkerumun ke arah jalan raya dan hati saya terdetik agar nahas tidak melibatkan anak, tapi tak sangka rupa-rupanya memang anak saya terlibat kemalangan,”.

Itu luahan sebak Jasri Sainal, 39, yang kehilangan anaknya, Muhd Iman Nazzhan, lima tahun yang maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Paya Mengkuang, Masjid Tanah, di sini, kira-kira jam 5.09 petang semalam.

Menurutnya, ketika itu Muhd Iman sedang bermain dengan kakaknya dan beberapa lagi budak sebayanya di hadapan rumah dan anak kelima daripada enam beradik memang tidak pernah bermain di jalan raya sebelum ini.

“Masa kejadian, seorang lagi anak perempuan saya dikatakan melintas jalan menuju ke arah saya tanpa saya sedari sehinggalah terdengar bunyi dentuman kemalangan.

“Waktu itu barulah saya dapat tahu rupanya Muhd Iman juga cuba berlari ke arah namun tak sempat,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas membuatkan dia dan isteri, Siti Zainab Zakaria, 38, terkejut kerana anaknya itu tidak pernah bermain di jalan raya sebelum ini.

“Memang dia tak pernah ke jalan raya, tak tahulah apa nasib yang memanggilnya ‘pergi’ sedangkan baru sekejap sahaja dia ada di depan rumah sambil diperhatikan ibunya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast