Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melakukan pemantauan di Jementah, Segamat, hari ini.

MERSING – Jumlah mangsa banjir di daerah ini terus bertambah apabila sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan penduduk kampung orang asli petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, setakat pukul 6 petang seramai 266 mangsa dari 78 keluarga telah dipindahkan ke PPS.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Labong dibuka pukul 5 petang menempatkan 15 mangsa dari tiga buah keluarga Kampung Orang Asli Labong.

“PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chiao Ching yang dibuka pagi tadi turut menerima penambahan mangsa iaitu sebanyak 121 mangsa dari 39 keluarga.

“Sementara 130 mangsa dari 36 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar yang juga menunjukkan pertambahan bilangan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua mangsa dipindahkan susulan hujan berterusan di daerah itu sejak pagi tadi untuk tujuan keselamatan walaupun hujan sudah berhenti pada sebelah petang.

Tambahnya, terdapat tiga buah jalan yang terjejas dengan banjir iaitu di Jalan Johor Bahru- Endau Rompin di Ladang Tenusu yang hanya dibuka kepada satu lorong.

Dua lagi jalan melibatkan Kota Tinggi di Jalan Mawai Lama yang hanya dibuka kepada kenderaan berat manakala di Jambatan Sungai Semalok jalan hanya dibuka kepada satu lorong sahaja.

Beliau juga memaklumkan terdapat tiga buah sungai iaitu Sungai Muar di Segamat Kecil, Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Lenit, Ladang Chaah yang kini berada pada paras amaran.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast