KUALA LUMPUR – Tiada tindakan lanjut (NFA) bagi kes dua remaja lelaki didakwa menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir merempuh sebuah kereta dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, Subang Jaya pada 4 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Kes itu diklasifikasikan sebagai NFA kerana kedua-dua remaja itu di bawah usia dan kejadian terbabit tidak membabitkan sebarang kecederaan selain tiada saksi bebas dalam insiden berkenaan,” katanya hari ini.
Bagaimanapun katanya, polis telah memberikan nasihat serta amaran kepada kedua-dua remaja terbabit agar kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap pergerakan dan aktiviti sosial anak-anak, khususnya melibatkan risiko keselamatan.
“Selain, mereka disaran mendapatkan bantuan dan nasihat pihak berkuasa sekiranya berdepan kesukaran mengawal tingkah laku anak-anak,”ujarnya.
Tegas beliau, tindakan terhadap ibu bapa juga boleh diambil sekiranya wujud unsur pengabaian dan kesalahan dilakukan oleh kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Terdahulu, media melaporkan dua remaja ditahan selepas video tular memaparkan mereka menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir melanggar sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
Kedua-dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 6 Disember lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan keesokan harinya selepas keterangan diambil. – Malaysiagazette
















