Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Keputusan mengklasifikasikan semula
insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak bermaksud wujudnya kesalahan jenayah dalam kes berkenaan.

Sebaliknya Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, arahan itu bagi memastikan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan bukti yang ada.

“Klasifikasi semula ini selaras dengan tanggungjawab Perlembagaan jabatan ini untuk memastikan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan bukti yang ada, serta tidak bermaksud wujud sebarang kesalahan jenayah pada peringkat ini

“Siasatan kes ini masih dijalankan oleh pasukan khas PDRM di Bukit Aman.

“Justeru, integriti proses siasatan perlu dipelihara,”katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, AGC menyeru orang awam, termasuk pengulas dan pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai insiden yang mengakibatkan kematian tiga individu, baru-baru ini.

Katanya, tindakan berkenaan berisiko menjejaskan siasatan dan menurunkan keyakinan terhadap sistem keadilan.

“Pada masa yang sama, individu yang mempunyai maklumat, rakaman, gambar atau bukti berkaitan insiden ini digalakkan untuk tampil memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh. objektif dan berfakta,” katanya lagi.

AGC turut memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.

Oleh itu, semua pihak diingatkan untuk menghormati proses pengadilan demi kepentingan keadilan dan semua pihak yang terlibat.

“Jabatan ini bersama PDRM akan bekerjasama rapat untuk meneliti kes ini secara menyeluruh, dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian,” ujarnya.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan AGC bersetuju dengan syor  Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menuntut supaya siasatan kes berkenaan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast