KUALA LUMPUR – Warden Penjara Penor ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan meniarap dalam air setinggi lebih kurang satu kaki di ruang tamu rumahnya di Kuantan Pahang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa Muhammad Hariri Kamarudin, 26, pulang untuk melihat keadaan rumah yang ditenggelami banjir pada 1 pagi tadi.
Bapa mangsa membuat laporan polis selepas tidak dapat menghubungi anaknya pada 11 pagi.
“Pada jam 10 pagi ayahnya mendapati si mati belum pulang ke PPS (pusat pemindahan sementara), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chong Hwa Taman Seri Inderapura Kuantan,” katanya menerusi kenyataan.
Ashari berkata, bapa mangsa kemudian pulang ke rumah dan melihat anaknya tidak sedarkan diri, lalu membawa pulang lelaki itu ke PPS.
“Pihak polis dari Balai Polis Kuantan telah pergi ke PPS dan dapati simati terbaring ditempat duduk belakang kenderaan,” katanya lagi.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan pada jam 12 tengah hari tadi untuk bedah siasat.- MalaysiaGazette
















