Pengarah Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139 juta di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 08 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed untuk ke United Kingdom (UK) bagi mengiringi anak perempuannya yang akan melanjutkan pengajian di sebuah universiti di negara itu, bulan depan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin membenarkan permohonan Abu Sahid untuk berada di London dari 12 hingga 28 Januari depan, selain membenarkan pasportnya diserahkan sementara bagi tujuan perjalanan tersebut.

Suzana turut mengarahkan Abu Sahid memulangkan semula pasport berkenaan kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 30 Januari.

Pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhly Zambry turut memohon mahkamah untuk mengenakan syarat tambahan bagi menghalang tertuduh daripada menggunakan mana-mana akaun bank miliknya di negara berkenaan sepanjang tempoh perjalanan itu.

Namun, peguam Abu Sahid, Datuk Jasbeer Singh Kaura membantah permohonan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai tidak adil dan akan menyukarkan tertuduh.

Beliau berhujah pihak pendakwaan tidak pernah mengenal pasti kewujudan akaun bank di United Kingdom, selain menegaskan anak guamnya memerlukan akses kewangan bagi menampung perbelanjaan harian dan yuran pengajian anaknya.

Katanya lagi, setakat semua akaun anak guamnya di Malaysia sudah dibekukan dan andai sekatan tambahan dikenakan sukar untuk beliau membayar pengajian anaknya di UK.

Suzana menolak permohonan pendakwaan untuk mengenakan syarat tambahan tersebut setelah mendengar hujah kedua-dua pihak.

Abu Sahid sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pecah amanah jenayah dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram antara tahun 2016 hingga 2019 berjumlah RM313 juta.

Beliau urut berdepan satu lagi pertuduhanpecah amanaj di Mahkamah Sesyen Shah Alam membabitkan dakwaan menyeleweng RM145.5 juta dana syarikat pada 2018. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast