KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu memastikan tiada lagi kejadian pusat spa yang menawarkan aktiviti tidak bermoral berleluasa di ibu kota.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, pemantauan secara berterusan perlu dilakukan bagi memastikan tidak ada pengusaha spa yang berani bertindak keterlaluan melebihi tujuan sebenar perniagaan.
“Kita ini wakil rakyat bukan boleh jadi polis. Isu-isu yang sudah diambil tindakan kita kena pantau supaya ia tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Citrawarna Kampong Bharu 125 Tahun yang Pintasan Saloma, hari ini.
Terdahulu dilaporkan, lebih 200 lelaki termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan hubungan songsang ditahan dalam serbuan di sebuah spa di Chow Kit.
Kejadian berlaku pada 28 November lalu.
Bagaimanapun, seramai 171 lelaki warga tempatan yang ditahan dibebaskan dengan jaminan pada 29 November selepas permohonan reman ke atas mereka ditolak. – MalaysiaGazette
















