KUALA LUMPUR – Persatuan Pemandu E-Hailing Utara (NeHDA) melahirkan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap dakwaan sikap membisu dan sambil lewa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung isu-isu kritikal yang dibangkitkan dalam sesi libat urus pada 17 November lalu.
NeHDA dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia termasuk berkenaan sistem tawar-menawar dalam perkhidmatan e-hailing yang masih diamalkan secara terang-terangan dan berleluasa sehingga kini.
Sedangkan, menurutnya, Menteri Pengangkutan, Anthoy Loke sebelum ini telah mengeluarkan arahan jelas bahawa sistem itu tidak dibenarkan, namun tiada tindakan diambil APAD terhadap pelanggaran tersebut.

Selain itu, ujarnya, keluhan berkenaan kenaikan mendadak insurans e-hailing sehingga 150 peratus juga tidak ditangani dengan berkesan.
“Bermula tahun hadapan, pemandu dijangka menanggung beban kos insurans yang meningkat secara drastik. Ini menambah tekanan kepada pendapatan yang sedia terhimpit,” katanya.
Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, NeHDA bersama rakan-rakan persatuan lain telah mengemukakan cadangan struktur tambang yang lebih adil supaya harga lantai dan siling dapat ditetapkan.
Namun sehingga kini, ujarnya, tiada tindakan susulan atau sesi rundingan bersama operator e-hailing diadakan oleh pihak APAD berhubung isu tersebut.
“Kami melihat kegagalan ini sebagai satu bentuk pengabaian tanggungjawab oleh pihak berwajib khususnya APAD dan Kementerian Pengangkutan, dalam melindungi kebajikan lebih 300,000 pemandu e-hailing di seluruh negara,” katanya.
Tambah kenyataan itu, lebih 2,500 pemandu di kawasan Utara kini berdepan ketidaksamarataan harga tambang berbanding kawasan lain, walaupun kos operasi seperti minyak dan penyelenggaraan adalah sama, sekali gus memperlihatkan satu bentuk penindasan sistemik terhadap pemandu di wilayah tersebut.
Sehubungan itu, ujarnya, NeHDA menggesa supaya APAD segera melaksanakan sesi libat urus susulan bersama semua pihak berkepentingan dalam industri e-hailing supaya jalan penyelesaian dapat dicapai segera.
Dalam masa sama, tambahnya, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap syarikat e-hailing yang ingkar arahan kerajaan, manakala struktur tambang yang adil dan telus perlu dilaksanakan segera demi kelangsungan hidup pemandu.
“NeHDA akan terus memperjuangkan hak dan suara pemandu eHailing demi masa depan industri yang lebih adil, mampan dan berperikemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















