Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Hindu Malaysia (Mahima) melahirkan kebimbangan terhadap pencerobohan sebuah kuil di Kangar Pulai, Johor baru-baru ini yang disifatkan semakin kerap berlaku dan membimbangkan penganut Hindu di negara ini.

Presidennya, Datuk N Sivakumar berkata, walaupun terdapat kes kuil dibina di lokasi yang tidak sesuai atau di atas tanah milik pihak lain, perkara itu perlu ditangani secara berhemah dan berpaksikan semangat keharmonian masyarakat majmuk.

“Pihak berkuasa wajar memberi ruang, masa dan peluang kepada pihak pengurusan kuil untuk merancang serta mencari jalan penyelesaian atau alternatif yang sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sivakumar, apa yang lebih membimbangkan adalah insiden pencerobohan sering mengakibatkan kerosakan dan pemecahan patung-patung dewa yang merupakan lambang kesucian dan ibadat penganut Hindu.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan kesucian rumah ibadat, malah boleh mengundang kemarahan serta ketegangan antara masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan kerjasama erat antara pihak berkuasa dan pengurusan kuil bagi memastikan isu sama tidak berulang, selain menggesa pendekatan yang lebih inklusif dan berperikemanusiaan dalam menangani isu sensitif berkenaan.

“Pendekatan ini penting supaya isu rumah ibadat tidak disalah tafsir atau dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sivakumar berkata, komitmen Mahima untuk sentiasa mematuhi undang-undang negara serta menjunjung Perlembagaan dan kedaulatan perundangan.

Namun, beliau menggesa agar garis panduan  lebih jelas, adil dan berkesan digubal serta dikuatkuasakan bagi menangani isu berkaitan rumah ibadat, demi memastikan keharmonian dan sensitiviti agama di negara ini terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast