KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Gombak menyifatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia sebagai kerusi strategik yang perlu ditawan semula memandangkan kawasan itu pernah menjadi kubu kuat parti sebelum bertukar tangan pada pilihan raya negeri lalu.
Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin berkata, latar sejarah serta komposisi pengundi di kawasan itu memberikan asas kukuh kepada parti untuk kembali merebut kerusi berkenaan sekiranya gerak kerja dilakukan secara berdisiplin dan berterusan.
“Gombak Setia bukan kerusi asing bagi Keadilan. Kita pernah menang di sini dan mempunyai jaringan akar umbi yang kuat. Sebab itu sasaran untuk merampas semula kerusi ini adalah realistik,” katanya dalam kenyataan.

Justeru pihaknya telah menganjurkan Majlis Makan Malam dan mesyuarat bersama lebih 300 warga Keadilan Gombak termasuk akar ambi serta otai-otai Reformasi yang sebahagian daripada gerak kerja berterusan PKR Gombak bagi membina momentum menuju kemenangan di DUN tersebut.
Menurutnya, DUN Gombak Setia yang terletak dalam kawasan Parlimen Gombak mempunyai kepadatan pengundi bandar dan separa bandar, menjadikannya medan penting bagi mengukur sokongan rakyat terhadap parti dan kerajaan negeri.
“Kerusi ini mencerminkan denyut nadi pengundi bandar. Jika kita berjaya meyakinkan pengundi di Gombak Setia, ia memberi impak besar kepada kekuatan parti di seluruh Gombak,” ujarnya.
Zainol berkata, persiapan awal yang digerakkan ketika ini bertujuan memastikan jentera parti lebih tersusun serta mampu menyampaikan mesej yang jelas kepada pengundi.
Beliau turut menekankan usaha menterjemahkan semua inisiatif Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor kepada anggota secara bersemuka supaya dasar dan pencapaian kerajaan dapat difahami serta disampaikan dengan tepat di peringkat komuniti.
“Anggota mesti menjadi penyampai maklumat yang berkesan bukan sekadar jentera pilihan raya,” ujarnya.
Untuk makluman, kerusi DUN Gombak Setia ketika ini milik Muhammad Hilman Idham (Perikatan Nasional) yang sebelum ini pernah bersama PKR. – MalaysiaGazette
















