KUALA LUMPUR – Dua lelaki warganegara India tanpa dokumen sah mengendalikan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas A ditahan di kwasan Pantai Kelanang Kuala Langat dekat sini malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dilakukan bot ronda maritim kira-kira jam 7.30 malam tadi ketika rondaan rutin dijalankan.

“Pasukan ronda menahan bot itu dan diperiksa sebelum mereka ditahan pada kedudukan 4.61 batu nautika barat daya Pantai Kelanang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan seorang tekong bersama seorang kru, yang mana kedua-duanya adalah warga India berumur 40 tahun,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, dua lelaki itu juga melanggar syarat sah lesen mengikut Akta Perikanan 1985, iaitu botel tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor, tidak dijadikan lokasi pelanggaran undang-undang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai sebarang aktiviti mencurigakan dan insiden di laut boleh menyalurkan maklumat ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Selangor (013-6606652) untuk tindakan segera,” katanya.

Jelas beliau, kes tersebut disiasat di Bawah dua akta utama iaitu Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat lesen serta tiada dokumen pengenalan diri sah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast