Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Perlis menyatakan sokongan supaya Kerajaan Negeri Perlis sedia ada diteruskan dan kekal memerintah sehingga tamat penggal.

PH Perlis dalam satu kenyataan berkata, kestabilan kerajaan adalah keperluan utama bagi sebuah negeri kecil seperti Perlis, bukan sahaja untuk memastikan kelancaran pentadbiran.

Malah, tambahnya, ia juga bagi menjimatkan kewangan kerajaan, mengelakkan pembaziran akibat ketidaktentuan politik serta tidak mengguris mandat rakyat yang telah diberikan secara sah.

Tegasnya, Kerajaan Negeri Perlis yang terbentuk hari ini adalah hasil mandat jelas rakyat melalui proses demokrasi yang sah, sekali gus wajib dihormati dan dipelihara.

“Ia bukan ruang untuk pergolakan dalaman atau percaturan kuasa yang hanya menimbulkan keresahan awam serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri,” katanya selepas mesyuarat PH Perlis malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan keadaan politik di Perlis bergolak selepas terdapat dakwaan wujud usaha menyingkirkan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Memetik sumber, seramai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga daripada Pas didakwa telah menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Mohd Shukri.

DUN Perlis kini dikuasai PN dengan 14 kerusi, masing-masing sembilan dimiliki Pas manakala lima daripada Bersatu dan satu PH sebagai pembangkang.

Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, PH Perlis juga berpandangan sebarang pergolakan politik dalaman melibatkan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu mesti dihentikan segera.

Ujarnya, pertelingkahan terbuka hanya melemahkan pentadbiran, mencalarkan imej negeri dan mengganggu tumpuan kerajaan dalam mengurus hal-hal asas rakyat.

“Keutamaan kerajaan negeri seharusnya diberikan sepenuhnya kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kemajuan negeri secara mampan,” katanya

Sementara itu, PH Perlis menegaskan, kepimpinan negeri juga mestilah beradab, matang dan menghormati institusi raja.

Katanya, hubungan yang harmoni dan penuh hormat dengan Raja Perlis serta Istana merupakan tunjang utama kestabilan negeri dan perlu dipelihara dengan kebijaksanaan serta keinsafan terhadap kedudukan Raja Berperlembagaan.

“PH Perlis akan terus berdiri bersama kerajaan negeri sedia ada, institusi raja dan kepentingan rakyat, demi memastikan Perlis ditadbir dengan aman, stabil dan bermaruah sehingga tamat penggal pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast