Ketua Pergerakan UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed.

PEKAN – Kenyataan dibuat Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin baru-baru ini bagaikan tidak menghormati hubungannya dengan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, ia lebih-lebih lagi ketika DAP dan UMNO masih mempunyai kerjasama termasuk di Pahang.

“Saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Pekan menzahirkan rasa marah, terkilan dan agak kecewa dengan kenyataan daripada Bee Yin kerana beliau adalah Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan.

“Jadi, bila orang seperti beliau yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam DAP mengeluarkan kenyataan sebegitu, ini menggambarkan pendirian DAP terhadap kes Datuk Seri Najib Razak.

“Kita juga boleh anggap DAP langsung tidak menghormati hubungan UMNO dan DAP di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dua hari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Najib yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pekan berhubung pengesahan titah adendum bagi menjalani baki tempoh pemenjaraan sebagai tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan titah berkenaan tidak sah kerana tidak diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Januari lalu sekali gus tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas mengenai keputusan berkenaan, Mohd Fakhrul berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Pekan akur dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas pemimpin mereka itu.

“Tapi apa yang kita kecewa, kenapa titah adendum ini daripada awal tak diberitahu prosedurnya tidak betul dan seumpamanya. Kenapa perlu dilanjutkan hal titah adendum ini bertahun-tahun hingga akhirnya ke mahkamah? Pada awalnya titah adendum ini kita dengan katanya hearsay sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan jika kesan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi berkenaan boleh mendorong kepada peristiwa ‘Krisis Perlembagaan 1993’.

“Benda ini terjadi seolah-olah ada usaha yang terancang untuk sekali lagi mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu seperti deja vu kepada peristiwa pindaan Perlembagaan pada tahun 1993,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast