KUALA LUMPUR – Masih terdapat segelintir orang awam yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata sehingga menjejaskan keberrsihan dan imej bandar raya.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan di kawasan pusat bandar juga memerlukan kerjasama daripada masyarakat.
“Elakkan membuang sampah sesuka hati, gunakan tong sampah yang disediakan dan pelihara ruang awam yang kita kongsi bersama. Sikap bertanggungjawab setiap individu akan memberi kesan besar kepada kebersihan bandar,” kata DBKL menerusi hantara di laman Facebook.
Agensi penguat kuasa itu turut memuat naik gambar-gambar sekitar pusat bandar malam tadi yang kelihatan dikotori dengan sampah sarap yang dibuang di jalan raya.
Antara kawasan berkenaan adalah Bukit Bintang.
Sehubungan itu, DBKL menasihatkan orang ramai kekal menjaga kebersihan meskipun meskipun musim perayaan.
“Walaupun orang ramai meraikan suasana malam perayaan, tanggungjawab menjaga kebersihan tetap perlu diutamakan.
Dalam perkembangan lain DBKL melaporkan mengeluarkan 33 kompaun menerusi Ops Anti-Litter di sekitar Bandar Menjalara pada Rabu.
Menurutnya, antara kesalahan yang direkodkan ialah 18 kompaun di bawah Seksyen 46(1)(d) kerana meletakkan atau menyebabkan diletakkan barang-barang berkaitan aktiviti perniagaan di tempat awam, lapan kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d) kerana membuang sisa kotoran ke dalam longkang awam.
“Manakala empat kompaun di bawah Seksyen 47(1)(a) kerana membuang sampah dan sisa di tempat awam serta tiga kompaun di bawah Seksyen 46(1)(b) kerana menutup atau menghalang parit terbuka atau akuadak di sisi jalan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















