Lelaki berpakaian menyerupai wanita semasa menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa, seperti yang tular baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berpakaian menyerupai wanita semasa menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa, seperti yang tular baru-baru ini.

Dalam masa yang sama katanya, JAWI turut diminta bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menurunkan kandungan berkaitan di media sosial.

Menurut Zulkifli, ini kerana perbuatan tersebut mengundang reaksi negatif masyarakat dan disifatkan sebagai mencabar sensitiviti agama serta norma budaya di negara ini.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius isu yang tular di media sosial melibatkan tindakan seorang lelaki warganegara tempatan yang berpakaian menyerupai wanita semasa menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa.

Tegasnya, dari perspektif Islam, perbuatan menyerupai jantina lain adalah bercanggah dengan syariat dan tidak wajar dinormalisasikan dalam masyarakat.

Tambah Zulkifli, pendekatan dakwah dan pencegahan akan terus diperkukuh melalui khutbah, program keagamaan dan penyampaian di media sosial bagi meningkatkan kefahaman masyarakat serta memelihara keharmonian dan nilai budaya negara.

Baru-baru ini, tular di media sosial termasuk TikTok seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita semasa menjadi juri program Grand Final Miss and Mister Celebrity International 2025 yang berlangsung pada 21 Disember 2025. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast