KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meminta ibu bapa dan pelajar tidak menolak tawaran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hanya disebabkan kekangan kewangan.
Beliau berkata, Mara bersedia membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan termasuk melalui Bantuan Khas BUDI MARA.
“Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan. Saya sudah minta pengurusan Mara dan MRSM agar bantu mereka yang susah. Bantuan Khas BUDI Mara juga ada disediakan,” katanya dalam hantaran di Facebook di sini hari ini.
“Saya terus telefon sahabat saya Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hariri untuk bantu perbelanjaan awal. Selebihnya Insya-Allah saya dan Mara akan bantu,” ujarnya.
BUDI MARA adalah inisiatif keprihatinan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu yang memfokuskan bantuan penuh persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan daripada keluarga B40.
Program itu memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan terbaik di MRSM.
Inisiatif itu selari dengan dasar pengambilan pelajar, iaitu sekurang-kurangnya 60 peratus dalam kalangan keluarga B40 di samping kriteria status sosioekonomi dan kecemerlangan yang diambil kira menerusi sistem merit.
Pelajar BUDI MARA akan menerima bantuan wang tunai RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian sekolah, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan, tambang perjalanan pulang cuti semester, yuran dobi, pakaian sukan, keperluan peribadi dan sebagainya. – MalaysiaGazette
















