KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengingatkan kritikan semberono terhadap keputusan mahkamah berisiko disabitkan kesalahan menghina mahkamah.
Menurut Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia berkenaan, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah boleh mengkritik keputusan itu, namun perlu dibuat secara ilmiah dan beradab.
“Jika anda sebagai pihak dalam guaman terkilan dengan keputusan suatu mahkamah pula, rayulah ke mahkamah yang lebih tinggi.
“Biarkan undang-undang berjalan mengikut sistem yang telah diatur,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Tambah Zainul Rijal, kemunculan hakim dan peguam segera dengan komen yang pelbagai tidak akan dapat mengubah keputusan mahkamah.
Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda lebih RM11 bilion atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Keputusan Mahkamah Tinggi itu mengundang pelbagai perdebatan dan tafsiran daripada pelbagai pihak khususnya dalam kalangan penyokong bekas Perdana Menteri berkenaan. – MalaysiaGazette
















