KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, titah adendum merupakan perkenan hitam putih Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara.
Kata Pengerusi Muafakat Nasional (MN) berkenaan, titah adendum itu bukan seperti titah untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang hanya satu saranan lisan.
Menurut beliau, sekiranya prosedur titah adendum itu didapati cacat, maka kerajaan sepatutnya menasihati dan memperbetulkannya, bukan sepakat menyembunyikannya.
Sehubungan itu, tegasnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhak menerima apa yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang memerintah terhadap beliau.
“Kenapa dipersulitkan dan digagalkan titah Yang di-Pertuan Agong, Raja pemerintah.
“Urusan mahkamah dan kehakiman boleh terus dihormati. Hak seseorang rakyat juga perlu di indungi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Sehubungan itu, tambah Annuar, kepincangan sedemikian perlu diperbetulkan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan Najib berhubung semakan titah adendum bagi tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd., sekali gus kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang. – MalaysiaGazette
















